Tuesday, January 19, 2010

TUGASAN 1: PENCERITAAN

CERITA 1: UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang Yahudi yang menuduh orang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik. Nabi s.a.w lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu kebingungan. Maka ia pun mengangkatkan kepalanya melihat ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahwa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu."

Seterusnya orang Muslim itu berkata kepada Nabi s.a.w, "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini."

Kemudian Nabi s.a.w bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini?"

Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta."

Akhirnya Rasulullah s.a.w berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau lakukan, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar."

Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga terlebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."
Rasulullah s.a.w bersabda,

"Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."

Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah melalui seekor unta yang menghakimkannya.


KAITAN DENGAN ISI:

1. Hikmah beriman dan sentiasa mengingati Rasullulah S.A.W dengan sentiasa
mengamalkan selawat kepada Rasullulah
2. Yakin dengan kekuasaan Allah dan bersifat jujur


PENGGUNAAN DALAM PENGAJARAN:

Diceritakan selepas menerangkan kesan daripada mengamalkan selawat kepada Rasullulah atau di akhir pengajaran bagi tajuk “Beriman Kepada Rasullulah” dalam bahagian akidah tingkatan 3

....................................*********......................................

CERITA 2: AL-QURAN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT

Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Quran, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Quran."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Quran : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu : "Adakah kamu Al-Quran?" Lalu Al-Quran mengakui dan memperlihatkan orang yang pernah membacanya untuk mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.

Pada kedua ayah dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : " Dari manakah kami memperolehi semua ini, padahal amal kami tidak sampai pada tahap ini?"

Lalu dijawab : "Kamu diberi semua ini kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."


KAITAN DENGAN ISI:

1. Kelebihan Al-Quran
2. Hikmah membaca dan mendalami Al-Quran


PENGGUNAAN DALAM PENGAJARAN:

Diceritakan selepas menerangkan peranan Al-Quran dalam tajuk “Al-Quran Menjamin Kecemerlangan Hidup” dalam bahagian tilawah Al-Quran tingkatan 1 atau di akhir pengajaran bagi tajuk “Kemuliaan Al-Quran ” dalam bahagian tilawah Al-Quran tingkatan 5

No comments:

Post a Comment